Jumaat, 13 September 2013

Sekapur Sireh

Sekapur Sireh



بسم اللــه الرحمــن الــرحيم


Segala puji bagi Allah, tuhan yang telah mentadbir alam ini dengan sebaik-baik perancangan. Segala puji bagi Allah juga, tuhan yang telah memberi kami hidayah dan kekuatan dalam meneruskan perjuangan kami dalam memperjuangkan agama-Nya di bumi Allah yang penuh dengan barakah.

Sesungguhnya manusia selalu mencari ketenangan dan kedamaian dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Mereka cuba untuk mendapatkannya dengan hiburan, permainan, pembacaan dan sebagainya. Namun ketenangan yang di cari datang dan pergi. Sebenarnya jiwa mereka kosong tanpa cahaya keimanan.

Al-Quran diturunkan sebagai penyembuh duka, pengubat luka dan penghibur hati yang lara. Membaca Al-Quran adalah hiburan nurani yang mendamaikan hati serta menjadi teman di waktu sunyi.

Al-Quran tidak menjadi usang meskipun di ulang-ulang. Keajaibannya tidak pernah habis dan bangsa jin ketika mendengarnya mengatakan “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran yang menakjubkan, yang memberi petunjuk ke jalan yang benar, kemudian kami beriman kepadanya”.

Sesiapa yang berkata berdasarkan Al-Quran, maka dia berkata benar. Sesiapa mengamalkannya, dia mendapat pahala. Sesiapa memutuskan perkara dengannya, maka dia telah berlaku adil. Dan siapa menyeru kepadanya, dia diberi petunjuk ke jalan yang lurus. Al-Quran merupakan pemisah antara yang hak dan yang batil.

Semoga kita semua beroleh keredhaan Allah dari keberkatan Al-Quran. Semoga Al-Quran juga memberi kita petunjuk dalam mencari jalan menuju kepada keredhaan Allah. Amin…


Oleh:-
As Syeikh Tuan Haji Abdul Jaleel Arabie Bin Ms Abdulla Arabie
Mudir MTQH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan